Dengan nama Allah Yg Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Assalamualaik0m wbt...

Saturday 7 May 2011

TAUBAT PERLU DIBUKTIKAN DENGAN TIDAK ULANG PERBUATAN BERDOSA


FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)
Islam menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan ini, barulah Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.
Walau bagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, kadang-kadang ada manusia yang tersungkur dan rebah akibat tergoda ajakan hawa nafsu bergelora.
Atau terjebak dalam kancah maksiat yang memperdayakan pandangan mata hati, akhirnya terpalit noda hitam dalam lubuk jiwanya. Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi menerangi hatinya yang tercalit karat dosa.

 


Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan diri daripada dosa membayangi dirinya.
Imam al-Raghib al-Ashfahani menerangkan: “Dalam istilah syarak, taubat ialah meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang pernah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang ditinggalkan dulu. Jika keempat-empat perkara itu sudah dipenuhi, bermakna syarat taubatnya sudah pun sempurna.”
Justeru, dapat difahami taubat mempunyai peranan untuk membersihkan diri daripada dosa. Oleh sebab itulah, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki makrifatullah.
Dengan taubat, manusia dapat memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat yang merugikan, seterusnya mempertingkatkan keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan segala bentuk ketaatan penuh keikhlasan hanya kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat Darimi)
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Surah al-Tahrim, ayat
Perlu diinsafi, taubat tidak memadai hanya sekadar manis di bibir dengan melafazkan ucapan saja, selepas itu mengulangi semula perbuatan dosanya buat kesekian kalinya. Taubat sebenar menuntut seseorang melakukan lebih daripada itu.
Lanjutan itu, betapa perlunya kehidupan Muslim dihiasi amalan muhasabah dan menilai diri supaya dengan amalan itu dia dapat mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup. Kemudian, disusuli pula dengan amalan soleh yang bakal memperkuatkan ketahanan diri dan menggilap kemantapan jiwa menepis segala bentuk dugaan dan godaan mendatang.
Apabila ditinjau sirah Rasulullah SAW, Baginda adalah contoh teladan terbaik menjadi ikutan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan akan datang.
Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah: “Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

LALAI SOLAT KERANA PENGARUH DUNIA


March 8th, 2011 | 7:01 am | Solat | 4 responses
PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?
Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.
Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.
Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.
Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:
 

  1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.
  2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.
  3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai. Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.
  4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.
  5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang. Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.
  6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.
Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.
Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.
Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.
Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.
Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.
Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.
Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.
Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.
Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.
Oleh: Ustaz Mohd.Zawawi Yusoh
Source: Harian Metro Online

HUKUM BERCUMBUAN TANPA ZINA


March 8th, 2011 | 6:52 am | AkidahSoal Jawab Agama | 5 responses
Soalan: Assalamualaikum..sy nak tanya, apakah hukum seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali tanpa melakukan zina? adakah dosa keterlanjuran ini sangat berat walaupun tidak berlaku zina? apakah Allah akan mengampunkan dosanya sekiranya mereka ini telah insaf dan tidak mengulangi perbuatan ini untuk kali kedua?? sy kurang jelas tentang hal ini..
Jawapan: Perbuatan tersebut sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu:
 

  1. Ia menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).
  2. Berdua-dua antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).
  3. Menyentuh bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.
  4. Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
  5. Tidak menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).
  6. Melepaskan nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas. Dengan ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.
Orang yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;
  • Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.
  • Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
  • Bertekad tidak akan mengulangi lagi.
Sebagai bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di akhirat). Hanya dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Seseorang manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4516)
Wallahu a’lam.
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Source: Ilmu & Ulama

Friday 6 May 2011

BATASAN JARIAH SEORANG ISTERI

Ibadah | 

Semua orang berpeluang untuk melakukan amal jariah walau dalam apa bentuk sekalipun. Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna kita boleh melanggar batasan sebagai orang Islam. Bagi seorang isteri suamu tetap keutamaannya. Menurut Ustaz Mohd Fadzil, isteri terbatas pada keizinan suami terutama dalam berjariah.
“Isteri boleh membuat kebaikan di bawah keizinan suami kecuali di dalam rumah sendiri.
Jika isteri mengajar anak-anaknya membaca al-Quran di rumah, tidaklah perlu meminta izin suami, tetapi jika isteri ingin berjariah di luar rumah, mereka perlu mendapatkan keizinan suami,” tegas Ustaz Mohd Fadzil.
 

Begitu juga dalam bersedekah, isteri terutama yang mendapat nafkah dari suami perlu mendapat keizinan daripada suami mereka jika ingin menggunakan wang pemberian suami untuk bersedekah. Kebanyakkan isteri terlepas pandang mengenai perkara sebegini.
“Isteri tidak boleh berpuasa sunat tanpa keizinan suami. Jika isteri berpuasa juga, puasanya dikira haram. Begitu juga dalam bersedekah, sedekahnya dikira haram jika suami tidak mengizinkannya. Jika suami faham situasi ini, dia tidak akan menghalang isteri melakukannya kerana pahala tersebut diperolehi suami,” jelas Ustaz Mohd Fadzil.
Bagi isteri yang mempunyai pendapatan sendiri, tidak menjadi satu masalah untuk bersedekah kerana pendapatan tersebut bersumberkan dirinya sendiri, tetapi seboleh-bolehnya suami perlu tahu aktiviti isterinya di luar rumah.

RAKUS KEJAR KEBENDAAN PUNCA INSTITUSI KEKELUARGAAN PINCANG

KeluargaMuamalat | 

Gagal laksana tanggungjawab antara faktor perceraian .
SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan hubungan dibina kekal sepanjang hayat. Tidak pernah tergambar akan melalui detik sukar membawa kepada perceraian yang akan memberi kesan terhadap beberapa pihak terutama anak-anak.
Punca perceraian perlu diambil kira untuk melihat apakah bentuk masalah yang boleh menyebabkan perceraian. Ada pelbagai punca perceraian antaranya faktor kekurangan kewangan, tiada persefahaman, kegagalan memahami serta melaksanakan tanggungjawab.
Sama ada kegagalan memahami tanggungjawab berpunca daripada kekhilafan mahupun kurangnya pendedahan diberikan hingga kadangkala pihak berkenaan tidak mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
 

Satu lagi punca perceraian berkemungkinan kesan daripada pasca-modenisme yang tanpa disedari merubah serba sedikit budaya serta amalan masyarakat masa kini seiring kemajuan dicapai dan sekali gus memberi kesan terhadap perkara lain.
Pasca-modenisme bukanlah sesuatu yang baru, namun fahaman manusia berpegang kepada modernisme ini menyebabkan mereka yakin manusia yang berkuasa dan menentukan segala aspek kehidupan.
Pengaruh hebat ini juga berkesan ke atas pemikiran dan keyakinan umat Islam melalui pelbagai saluran seperti sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sosial dan politik.
Oleh demikian, pemahaman terhadap konsep keluarga dan tanggungjawab penting. Keluarga hari ini pada asasnya terdiri daripada bapa, ibu dan anak-anak. Berbeza masyarakat tradisional, keluarga lebih besar kerana termasuk saudara mara sebelah suami dan isteri yang tinggal bersama.
Ini sebenarnya memberi kesan kepada kepemimpinan keluarga kerana jika berdasarkan keluarga tradisional, keluarga akan dipimpin oleh datuk yang berpengalaman berbanding keluarga asas dipimpin bapa masih muda serta kurang pengalaman.
Perubahan demi perubahan menjadikan tumpuan manusia tertumpu kepada kebendaan. Kehidupan bukan lagi setakat selesa malah lebih daripada itu. Maka, berlakulah perceraian berpunca daripada kegagalan suami memberikan nafkah mengikut kehendak isteri untuk berbelanja. Pada masa sama, tanggungjawab yang sepatutnya mula diabaikan sedikit demi sedikit.
Suami adalah peneraju utama keluarga dan sebagai pembimbing kepada isteri serta anak bersesuaian kelebihan dianugerahkan Allah terhadap kaum lelaki. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri serta anak.
Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan daripada kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari hartanya.” (Surah An-nisa’, ayat 34)
Dalam pada itu, tanggungjawab utama isteri adalah mentaati dan patuh kepada suruhan suami bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sekiranya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang menyembah seorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)
Ini bukanlah menafikan hak atau memandang rendah peranan wanita kerana wanita mempunyai peranan tersendiri. Wanita pengurus utama keluarga dari sudut kewangan, makan minum, pakaian, pengurus kediaman serta dalam didikan terhadap anak.
Permasalahan mungkin timbul apabila suami mulai mengabaikan tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai kerjaya dan kebanyakannya mengharapkan wang hasil pendapatan isteri untuk menampung keperluan keluarga.
Akan tetapi, realitinya, suami masih lagi bertanggungjawab secara penuh dan isteri boleh membantu sekadar yang perlu, bukan menanggung sepenuhnya atau sebahagian besar keperluan.
Tuntutan kerja sekarang ada kala menyebabkan isteri tidak lagi menguruskan rumah tangga sebaliknya tugas menyediakan makanan serta keperluan keluarga dilakukan pembantu rumah. Ini belum lagi waktu kerja yang menyukarkan isteri membahagikan antara kerjaya dan rumah tangga.
Ini belum lagi kes isteri yang berjawatan lebih tinggi daripada suami yang turut mencetus kepada perbalahan. Segelintir wanita juga gagal memahami bahawa konsep ketaatan bukanlah satu budaya yang sengaja diwujudkan pada zaman dulu tetapi digariskan oleh syarak.
Kegagalan memahami tanggungjawab menyebabkan lelaki mengambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja sementara isteri yang menyumbang kepada ekonomi keluarga pula merasakan dirinya tidak boleh dikawal oleh suami.
Kemodenan tidak bermaksud perlu mengubah semua perkara sehingga mengenepikan hukum syarak.
Pemahaman ini perlu diterapkan kepada masyarakat supaya dapat memahami apa yang dimaksudkan kemodenan sebenar mengikut Islam.
Kebahagiaan rumah tangga juga bukan melihat kepada setinggi mana ilmu seseorang dari sudut akademik mahupun ilmu agama, atau sebanyak mana masa dan wang diperuntukkan untuk keluarga.
Keluarga akan bahagian apabila semua ahlinya memenuhi tanggungjawab masing-masing serta saling menghormati selain bekerjasama menguruskan keluarga berdasarkan syariat Islam tanpa mengetepikan keperluan mengikuti perkembangan semasa.

Wednesday 4 May 2011

Perkahwinan Yang Berkat Lebih Baik dari Kekal Sepanjang Hayat


Bismillahirrahmanirrahim.....
Seringkali kita mendengar ucapan ‘Selamat pengantin baru’, ‘Semoga kekal sepanjang hayat’ dan ‘Semoga bahagia ke anak cucu’. Ini adalah ucapan dan doa yang telah menjadi ikutan dan adat dalam masyarakat kita. Mungkin tidak ada apa-apa perkara yang salah yang kita perasan tentang hal ini. Tetapi sebenarnya terdapat banyak perkara yang bertentangan dengan ajaran Rasulullah.
Mari kita kembali kepada sejarah di zaman baginda,
Di dalam sebuah hadith, telah diriwayatkan bahawa Aqil Ibnu Ali Abi Talib r.a. telah menikahi seorang wanita dari kalangan Bani Jusham. Lalu orang ramai datang dan berkata,
“Semoga berbahagia dan ramai anak.”
Mendengar yang demikian Aqil berkata,
“Janganlah kamu mengatakan demikian, kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melarang yang demikian.”
Mereka lalu bertanya,
“Jika demikian, apakah yang patut kami katakan wahai Abu Yazid?”
Aqil menjawab,
barakah2.jpg
(Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu). Begitulah yang diperintahkan kepada kita”.[1]
Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari, diceritakan Rasullulah s.a.w. ternampak kesan Sufrah (sejenis wangian berwarna kuning) di baju Abdul Rahman Bin Auf r.a. lalu beliau bertanya,
“Apakah ini?”
Abdul Rahman r.a. menjawab,
“Saya telah mengahwini seorang wanita dan telah membayar mas kahwin seberat sebiji kurma.”
Rasulullah s.a.w. bersabda,
barakah1.jpg
(semoga kamu diberkati). Adakan walimah walaupun dengan seekor kibash”[2]
Menurut Abu Hurairah r.a. apabila mendoakan seseorang yang baru berkahwin, Rasulullah s.a.w. akan berkata,
barakah3.jpg
(Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikkan.)”[3]
Menurut Imam Nawawi di dalam Al-Azkar adalah disunatkan kita mengucapkan seperti ucapan-ucapan Rasulullah s.a.w. di atas. Menurut beliau lagi, adalah makruh kita mengucapkan
“Semoga berbahagia dan banyak anak.”[4]
Dipetik dari Blog MyJodoh
Dari penerangan di atas, jelaslah kepada kita cara sebenar yang diajar oleh rasulullah untuk berdoa kepada pasangan pengantin. Mari kita susuli pula apakah yang terjadi dengan ucapan doa-doa yang salah. Kita berkata ‘semoga bahagia sehingga ke anak cucu’, tapi cuba fikir betul-betul, bagaimana selepas anak cucu? Adakah doa kita hanya untuk kebahagiaan mereka sehingga ke anak cucu sahaja?
Doa kedua yang agak popular, ‘Semoga kekal sepanjang hayat’, pernikahan kita adalah kerana Allah untuk bekalan di akhirat kelak. Jika berdoa semoga kekal hingga ke akhir hayat, bagaimana pula selepas akhir hayat? Apakah kebaikan perkahwinan yang kekal sehingga ke akhir hayat tetapi tiada keberkatan dalam perkahwinan tersebut? Apa akan terjadi jika pasangan suami isteri tersebut terpaksa berpisah kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan?
Masyarakat akan mula mengata, ahli keluarga sendiri akan merasa hina dan seumpamanya, padahal perpisahan yang berlaku itu adalah lebih baik dari meneruskan kehidupan mereka sebagai suami isteri. Apa yang kita mahukan dalam sebuah perkahwinan adalah keberkatan dan kebaikan. Seandainya musibah menimpa sehingga kita terpaksa berpisah, biarlah perpisahan itu dilakukan dengan baik dan ia tidak sesekali dipandang serong. Aturan Allah amat sempurna untuk kita. Ditemukan kita dengan pasangan suami atau isteri pertama untuk seketika, kemudian ditemukan pula dengan pasangan lain yang lebih sempurna.
Apa yang kita mahukan ialah sentiasa menjalani kehidupan yang berkat walau sesiapa pun pasangan kita. Siti Khadijah sendiri adalah seorang janda. Jika Allah tidak pisahkan Khadijah dengan bekas suaminya, bagaimana pula Siti Khadijah akan menjadi isteri manusia pertama paling sempurna dalam dunia ini?
Oleh itu, sentiasalah mengambil doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah dalam kehidupan kita. Jangan merekacipta doa-doa sendiri yang tidak punyai maksud yang baik.
Lagu dari Maher Zain ini adalah sebuah petikan doa yang betul yang diajar oleh Rasulullah.
Wallahualam.....